31 Disember 2010

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH 2011

Assalamualaikum; Kami warga SK Seri Tengah mengucapkan selamat kembali semula ke sekolah yang akan dibuka pada hari Isnin (03/01/2011). Semoga pada tahun ini semua pelajar akan belajar dengan bersungguh untuk mencapai kecemerlangan. Kepada guru-guru pihak sekolah berharap semua guru akan bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh untuk mendidik pelajar sekolah ini supaya menjadi warganegara yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. 'SEKOLAH UNGGUL PENJANA GENERASI TERBILANG'

20 September 2010

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN UPSR

Kepada : Calon-calon UPSR 2010 Senjata sudah di tangan, peluru sudah diisi. Bekalan telah diberi, amanat sudah disampaikan. Hanya menunggu wisel dibunyikan untuk memuntahkan segala peluru yang sekian lama disimpan. Wahai, murid-murid Tahun 6 SKST, buatlah yang terbaik untuk dirimu dan keluargamu. Sebagai guru, hadiah yang paling berharga adalah kejayaan cemerlang anak didiknya. Semoga segalanya berjalan lancar dan mendapat keputusan yang cemerlang.AMIN....... Daripada : Warga SKST

17 September 2010

PUASA ENAM

Alhamdulillah kita tamat menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadhan ini. Sama-samalah kita mengharapkan mudah-mudahan Allah menerima amalan puasa kita. Di samping itu juga diharapkan agar latihan ibadat yang kita lakukan sepanjang Ramadhan seperti puasa, solat sunat, sedekah, bacaan Quran dapat diteruskan dalam bulan-bulan lain sehinggalah kita bertemu Ramadhan 1431H. akan datang. Setiap amalan ada kesan dan hasilnya. Ibadat puasa Ramadhan ini mampu menjadikan kita orang yang bertakwa. Inilah intipati dari Ramadhan. Kelazatan puasa memuncak ketika berakhirnya Ramadhan. Kita inginkan keberkahan Ramadhan ini berpanjangan hingga setahun, tapi apakan daya ia datang hanya sebulan saja. Sungguhpun begitu, kita masih berpeluang meneruskan puasa selepas 1 Syawal. Adalah menjadi amalan sunat mengerjakan puasa 6 hari dalam bulan Syawal. Ia boleh dilakukan mulai 2 Syawal hingga 7 Syawal secara berterusan atau mana-mana 6 hari dalam bulan tersebut. Nabi Muhammad saw. bersabda “Barangsiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari dalam bulan Syawal, maka orang itu seolah-olah berpuasa setahun penuh.” Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Sayugialah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa 6 di bulan Syawal. Selain mendapat pahala puasa setahun, kita juga dapat memperbaiki kekurangan dalam ibadat puasa bulan Ramadhan. Bagi kaum perempuan yang tidak dapat berpuasa penuh dalam bulan Ramadhan kerana kedatangan haid, puasa Sunat 6 hari dalam Syawal ini memberi peluang terbaik untuk mengqadha’ di samping mendapatkan pahala berpuasa sunat. Kebiasaan mentaakhirkan qadha sehingga hampir Ramadhan akan datang adalah satu amalan yang tidak sepatutnya dilakukan. Amalan wajib jika ditinggalkan mestilah disegerakan sebagai menunjukkan sikap pengabdian diri kita terhadap Allah. Apakah makna dan tujuan kita melambatkan qadha’ puasa wajib? Tidak lain menunjukkan seolah-olah kita keberatan untuk menunaikan kewajiban yang telah kita tinggalkan. Bukankah Allah tahu apa yang tersirat di hati kita? Natijah dari amalan puasa ialah taqwa dan kasih akan Allah. Tanda kasih akan Allah ialah berkhidmat kepadaNya. Siapa mencintai Allah dia akan berbahagia di alam akhirat, sebaliknya siapa mencintai dunia dan isinya, ketahuilah dunia akan meninggalkan kita. Kelazatan dunia walaupun bagus tetapi ia tidak kekal. Ia berakhir sebaik saja kita menemui ajal. Sebaliknya kelazatan akhirat kekal abadi tanpa batasan waktu. Di antara tanda kita mengasihi akan Allah ialah mulut sentiasa berzikir (mengingati / menyebut) Allah, hati tidak lalai mengingati sesuatu selain Allah. Setiap amalan yang dilakukan diperiksa terlebih dulu adakah untuk nafsu atau Allah. Mana yang dirasakan untuk Allah diteruskan. Apabila melihat sesuatu hati terus teringat kepada Allah yang menjadikannya. Selain itu, sentiasa mendampingi orang alim (ulama) kerana mereka ialah pewaris nabi. Kita sedar kita adalah bersama orang yang kita cintai di akhirat nanti. Jika hati menyintai nabi dan para ulama, insyallah kita bersama mereka di akhirat . Bagaimana pula agaknya kalau kecintaan beralih kepada para artis dan penyanyi? Nauzubillah… Sebagai akhirnya, sama-samalah kita berdoa supaya kita dapat bertemu Ramadhan tahun depan dan seterusnya. “Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan orang yang merindui Ramadhan kerana kami sedar di syurga terdapat sebuah pintu bernama Ar-Rayyan yang tidak boleh dimasuki oleh sesiapa kecuali orang yang berpuasa saja. Kami juga sedar Ya Allah bahawa puasa merupakan benteng terkuat dari azab neraka. Oleh itu jadikanlah kami orang yang rajin mengerjakan puasa wajib dan sunatnya. Kau peliharakanlah kami dari azab api neraka yang tidak mampu bagi kami untuk menanggungnya..” Amin.

SELAMAT HARI MALAYSIA

Mulai tahun 2010, 16 September adalah Hari Malaysia merupakan cuti am di semua negeri di Malaysia. Ini adalah untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat tahun lalu berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting. Hari Malaysia ialah menandakan penyertaan bersama Malaya (Semenanjung Malaysia), Borneo Utara (Sabah) , Sarawak, dan Singapura bagi membentuk Malaysia pada tahun16 September 1963. Selamat menyambut Hari Malaysia!

04 September 2010

MAJLIS KHATAM AL-QURAN.

LAGI GAMBAR AKAN DIMUATKAN SEDIKIT MASA LAGI...

02 September 2010

SALAM AIDILFITRI...

SEMUA WARGA SEKOLAH SK SERI TENGAH, MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN.

27 Ogos 2010

WARKAH AYAHANDA PENGARAH PELAJARAN JOHOR KEPADA SEMUA CALON UPSR NEGERI JOHOR TAHUN 2010

Anakanda, Ke hadapan anakanda calon-calon UPSR 2010 negeri Johor yang dikasihi. Ayahanda doakan agar anakanda sekalian dikurniakan kesihatan yang terbaik untuk menghadapi peperiksaan UPSR pada 21 hingga 23 September 2010 nanti. Ayahanda harapkan agar anakanda sentiasa tenang dan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk peperiksaan yang penting ini. Dengan kehadiran warkah ini, ayahanda berharap agar dapat menjadi pengganti diri ayahanda dan sesungguhnya anakanda tidak bersendirian dalam menghadapi saat-saat penting dalam kehidupan anakanda. Warkah ini juga umpama harapan dan kasih sayang yang tulus dari ayahanda yang terlalu ingin melihat anakanda beroleh kejayaan yang cemerlang dalam hidup anakanda. Kegembiraan dan kecemerlangan anakanda adalah kepuasan dan kejayaan ayahanda jua. Anakanda yang dikasihi, Kejayaan yang hendak diraih sebenarnya memerlukan usaha yang berterusan, tiada kejayaan yang boleh dicapai dengan mudah. Walaupun begitu sekiranya anakanda bersungguh-sungguh dalam apa jua usaha, semua perkara menjadi mudah dan boleh dicapai. Anggaplah kesusahan semasa berusaha untuk cemerlang adalah pengalaman manis yang akan dikenang satu hari nanti. Sifat putus asa dan bertangguh hendaklah dibuang jauh-jauh dari diri anakanda. Seperkara yang ayahanda ingin berkongsi ialah jangan malu untuk bertanya. Seperti kata pepatah melayu “Malu Bertanya Sesat Jalan” Tanyalah apa jua kemusykilan pada yang mahir. Di sekolah umpamanya kita mempunyai guru-guru yang cemerlang, kaunselor – kaunselor yang gemilang dan guru – guru pakar yang terbilang. Bertanyalah pada mereka semua. Semua persoalan akan terungkai . Bayangkanlah sekiranya anakanda rajin bertanya pada mereka, anakanda akan menjadi pelajar luarbiasa dan cemerlang. Anakanda yang dikasihi, Ayahanda tahu bahawa masa kini semakin suntuk, ketika warkah ini dibaca, ayahanda rasa hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi peperiksaan UPSR akan berlangsung. Anakanda harus tenang sehinggalah hari peperiksaan yang sebenar. Cuba dapatkan sokongan dari ibu bapa, keluarga dan guru-guru. Minta restu dan berbuat baiklah pada mereka. Anakanda juga jangan melupakan jasa mereka yang bertungkus lumus menjadikan anakanda pandai. Mohonlah kemaafan dan doa daripada mereka. Ayahanda yakin mereka semua akan mendoakan anakanda. Sebelum ayahanda mengundur diri, sekali lagi ayahanda nasihatkan agar anakanda menjaga kesihatan dan bersenamlah selalu agar badan sihat dan cergas. Gunakanlah masa yang masih berbaki ini sebaik yang mungkin. Jangan buang masa kerana “Masa Itu Emas”. Rajinlah mengulangkaji dan ketahuilah subjek atau topik yang masih belum dikuasai sepenuhnya. Akhirkata sampaikan salam takzim ayahanda kepada ibu bapa dan guru anakanda. Sekali lagi kita capai “Johor Top 5” tahun ini. Selamat menduduki peperiksaan UPSR. Semoga berjaya dengan cemerlang. Daripada Ayahanda (HAJI SUFA’AT BIN TUMIN) Pengarah Pelajaran Johor 17 Ogos 2010

26 Ogos 2010

TIPS MENGHADAPI PEPERIKSAAN UPSR

Berikut terdapat beberapa tips sebagai persediaan menghadapi peperiksaan upsr yang bakal dihadapi nanti. Antaranya ialah : 1. Semak jadual Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan. Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari. 2. Kunci peperiksaan Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan. Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan. 3. Tentukan keutamaan Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua. Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon. 4. Banyak mengingat dan membuat kaitan Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda digunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran. Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan. 5. Merancang persiapan peperiksaan Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan. Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari. Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit. Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan. Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaat masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu. Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda. Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan. Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah. b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah. Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan. Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya. Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang. Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian. Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir. Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda. c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah. Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir. Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan. 6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan. 7. Berdoa dan bertawakal Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan. Itulah di antara tip-tip yang boleh digunakan oleh pelajar sebagai panduan persedian dan meghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Di harap dengan panduan tip-tip di atas, pelajar-pelajar akan berkeyakinan dan membuat persiapan yang cukup untuk menghadapi ujian itu nanti.

LAILATUL QADAR

Malam al-Qadr adalah malam yang paling utama sepanjang tahun, berdasarkan firman ALLAH Ta’ala, ertinya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada Lailatul-Qadr. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadr? Lailatul-Qadr lebih baik dari seribu bulan.” (Surah al-Qadr: 1-3) Maksudnya, beramal pada malam tersebut seperti solat, dzikir dan membaca al-Quran lebih utama dari amalan selama seribu bulan yang tidak mempunyai Lailatul-Qadr. Sunnat Mengintai Lailatul-Qadr Disunnatkan mencari lailatul-Qadr itu pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan. Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam amat giat mencari saat itu pada sepuluh hari yang terakhir. Dari Aisyah radhiAllahu ‘anhu berkata: “Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila telah masuk sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan, diramaikannya waktu malam, dibangunkannya keluarganya dan diikat eratnya kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim) Di Malam Mana Berlakunya Lailatul-Qadr? Ada beberapa pendapat dari para ulama dalam menentukan malam yang mulai ini. Di antara mereka ada yang mengatakan bahawa ia adalah malam kedua puluh satu, ada pula yang mengatakan bahawa ia adalah malam kedua puluh tiga, ada yang berpendapat malam kedua puluh lima, dan ada yang berkata ia berlaku pada malam kedua puluh sembilan, serta ada yang mengatakan bahawa ia berpindah-pindah pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari yang terakhir. Tetapi kebanyakan mereka berpendapat bahawa jatuhnya Lailatul-Qadr ialah pada malam kedua puluh tujuh. Diriwayatkan oleh Ahmad dengan isnad yang sah dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu katanya telah bersabda Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam: “Barangsiapa mencarinya, hendaklah dicarinya pada malam kedua puluh tujuh!” Namun, dinasihatkan kepada semua jangan hanya menumpukan kepada satu-satu malam sahaja beribadah. Hendaklah berterusan ibadah kepada ALLAH setiap hari, dan diberi penumpuan yang lebih kepada 10 hari terakhir Ramadhan. Beribadah dan Berdoa Pada Lailatul-Qadr Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang beribadah pada malam al-Qadr kerana iman dan mengharapkan keridhaan ALLAH, diampunilah dosa-dosanya yang terdahulu.” Diriwayatkan dari Aisyah radhiAllahu ‘anha oleh Ahmad, Ibnu Majah dan juga Turmudzi yang menyatakan sahnya, katanya: “Saya bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana pendapat anda seandainya saya tahu malamjatuhnya Lailatul-Qadr itu, apakah yang harus saya ucapkan ketika itu?” Maka ujar Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam: “Katakanlah: “Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah daku ini.” Mudah-mudahan kita semua memperolehi TAQWA, amin…

25 Ogos 2010

24 Ogos 2010

TAZKIRAH

Ramadhan Bulan ini merupakan satu bulan mulia dan waktu yang merupakan khusus untuk umat Islam melakukan ibadah puasa dengan menuruti perintah Allah yang menyebut : “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana telah ditetapkan kepada orang-orang sebelum kamu mudah-mudahan kamu menjadi bertaqwa” (Al-Baqarah : 183). "Bulan Ramadhan yang pada bulan itu telah kami turunkan Al-Qur’an untuk memberi pertunjuk kepada manusia dan memberi penerangan dari hidayah serta pembeza hak dan kebathilan” “Barangsiapa yang menghadapi bulan ramadhan maka hendaklah dirinya berpuasa” (Al-Baqarah : 185). Sesungguhnya ramadhan merupakan bulan mulia yang menjadi salah satu dari waktu tertegaknya rukun Islam yang lima iaitu berpuasanya umat Islam pada bulan ini sebagai menunaikan kewajipan mereka kepada Allah yang Maha Esa. Diriwayatkan dari Ibn Umar ra bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda : “Terbinanya Islam itu di atas lima perkara iaitu bersyahadah bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan Muhammad itu sebagai rasulullah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat dan menunaikan haji serta puasa di bulan ramadhan” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 8 dan Muslim no. 16). Bahkan bulan yang mulia ini juga diberi penghormatan oleh Allah swt dengan membersihkannya dari kewujudan dan kekotoran syaitan dan dosa seperti yang terdapat dalam hadith riwayat Abu Hurairah ra dari rasulullah yang bersabda : “Apabila tibanya bulan ramadhan maka dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu para syaitan” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 1899 dan Muslim no. 1079). Juga baginda bersabda : “Barangsiapa yang berpuasa di bulan ramadhan dengan penuh keimanan dan berjaga-jaga serta keikhlasan maka diampunkan segala dosanya yang terdahulu” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 38 dan Ibn Majah no. 1641). Sesungguhnya bulan ramadhan ini ialah sebuah ibadah yang agung dan mulia di sisi Allah swt. Juga pada bulan ini ganjaran pahala dan kebaikan menanti hamba yang beriman yang melalui bulan dan waktu ini dengan ibadah dan keimanan yang sahih kepada Allah swt. Mereka yang berpuasa merupakan tetamu Allah swt yang akan dilayani dengan ganjaran dan kebaikan seperti yang disebut oleh rasulullah dalam hadith qudsi bahawa Allah berfirman : “Setiap amalan anak adam itu ialah ialah untuk dirinya sendiri kecuali puasa kerana puasa itu ialah untuk Aku (Allah) dan Akulah (Allah) yang akan memberinya ganjaran, dan puasa itu ialah pendinding..” (Hadith sahih riwayat Bukhari no. 1904 dan Muslim no. 1151). Sesungguh para tetamu Allah di bulan ramadhan ini akan diberikan kelebihan di sisi Allah bukan hanya di dunia tetapi juga di akhirat bahkan baginda dalam sebuah hadith menyebut : “Sesungguhnya demi Yang jiwa Muhamamd itu di tangan-Nya bahawa bauan mulut mereka yang berpuasa itu di hari akhirat lebih harum di sisi Allah dari wangian misik dan bagi mereka yang berpuasa itu dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika menemui tuhannya..” (hadith sahih Bukhari no. 1904 dan Muslim no. 1151). Bahkan tetamu Allah di bulan ramadhan akan diberikan ganjaran besar di sisi Allah sehingga disediakan kepada mereka sebuah pintu syurga yang khusus seperti dari riwayat Sahl ibn Said ra dari baginda nabi yang bersabda : “ Sesungguhnya di syurga itu terdapat pintu yang dinamakan ar-rayyan yang dikhususkan untuk golongan yang berpuasa dan pada hari kiamat tiada yang masuk melalui pintu itu melainkan hanya golongan yang berpuasa yang akan diseru mereka itu dengan ditanya : Siapakah golongan yang berpuasa ? Lalu mereka pun bangun dan memasuki pintu tersebut dan kemudiannya ditutup setelah mereka selesai melalui pintu tersebut dan tidaklah masuk selepas itu sesiapa pun” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 1896 dan Muslim no. 1152

21 Ogos 2010

PROGRAM TEKNIK MENJAWAB SOALAN B.INGGERIS UPSR 2010

Program Teknik Menjawab soalan Bahasa Inggeris UPSR telah diadakan pada ketetapan seperti berikut:- Tarikh : 21 Ogos 2010 (Sabtu) Masa : Jam 8.00 - 10.30 pagi Tempat : Makmal Komputer SK Seri Tengah Sasaran: Pelajar Tahun 6 Penceramah : Cikgu Khairul Anuar B. Abd Manap

20 Ogos 2010

RAMADHAN DATANG LAGI...

RAMADHAN DATANG LAGI.... bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnianya dapat sekali lagi kita bertemu dengan bulan yang penuh keberkatan dan keampunan ini. 1 Ramadhan pada tahun jatuh pada hari rabu bersamaan dengan 11 Ogos 2010. SKST mengadakan aktiviti bertadarus al-Quran pada waktu rehat. di mana setiap kelas/pelajar akan dibimbing oleh guru pembimbing masing-masing. sama-samalah kita memenuhi bulan Ramadhan ini dengan aktiviti-aktivti yang berfaedah. "S E L A M A T B E R P U A S A"

MAJLIS PERPISAHAN GURU BESAR SKST.

Majlis perpisahan guru besar SKST iaitu En. Basir B Wardos telahpun diadakan pada 30 Julai 2010, iaitu pada hari Jumaat. Majlis pada sebelah pagi diadakan di dewan SKST bersama guru-guru&staf, murid-murid dan PIBG. Manakala majlis pada sebelah petang pula telah diadakan di Hotel Katerina, Batu Pahat. En. Basir B Wardos bertukar ke SK Sri Dayong,Bt Pahat. Manakala tempat guru besar SKST digantikan oleh Pn.Hjh Asiah Bt Halip. Beliau sebelum ini bertugas di SK Sri Binjai sebagai GPK 1.

02 Jun 2010

MAJLIS PERSARAAN EN. MOHAMADIAH B. ABD RAHMAN.

gambar-gambar sekitar majlis persaraan cikgu mohamadiah b abd rahman disaksikan oleh tuan guru besar acara simbolik menulis masa untuk pulang buat kali terakhir. bergambar bersama guru-guru dan staf sk seritengah 2010

02 Mac 2010

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 2010

PADA 27 FEB 2010, PIHAK SKST DENGAN KERJASAMA SEK. AGAMA SERI TENGAH DAN PIBG TELAH MENGADAKAN PROGRAM SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 2010 PERINGKAT SEKOLAH.MAJLIS INI DIADAKAN SECARA BESAR-BESARAN. IANYA BERMULA PADA PUKUL 8.30 MALAM DAN BERAKHIR LEBIH KURANG PUKUL 11.30 MALAM. PENCERAMAH JEMPUTAN PADA MAJLIS IALAH UST. MASLI BIN JUSOH. TETAMU YANG HADIR PADA MAJLIS TERSEBUT ADALAH DIANGGARKAN SERAMAI 300 ORANG. UNTUK MENYERIKAN LAGI MAJLIS TERSEBUT, TELAH DIADAKAN BEBERAPA PERSEMBAHAN SEPERTI MARHABAN DAN NASYID SERTA BACAAN BERZANJI. PARA TETAMU YANG HADIR DIHIDANGKAN DENGAN MENU YANG ISTIMEWA IAITU NASI BERIYANI BERSAMA KARI KAMBING, LEMBU, AYAM GULAI DAN JUGA MASAKAN SAYURAN.